BOT ronda FAC kelas PC yang diterima PPM di Lumut, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


PASUKAN Polis Marin (PPM) memerlukan lima lagi bot ronda Fast Assault Craft (FAC) kelas PC bagi memantapkan serta memenuhi keperluan penugasan yang semakin mencabar di kawasan perairan luas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, buat masa ini PPM sudah mempunyai enam bot ronda termasuk dua yang baru diterima hari ini.

Menurutnya, penambahan aset kelas PC itu masih diperlukan dan amat penting untuk memenuhi keperluan penugasan yang semakin mencabar serta membabitkan jumlah keluasan 159,167 kilometer persegi meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak dengan jarak sehingga 12 batu nautika dari pantai.

“Hari ini kita menerima dua bot ronda yang bersesuaian untuk tugas operasi kerana ia dapat memintas penjenayah rentas sempadan mahupun pencerobohan di perairan negara serta kawasan sempadan.

“Justeru, kita akan memohon untuk penambahan lima lagi bot jenis yang sama dan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk meningkatkan jumlah aset berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bot Ronda FAC Kelas PC (PC 31 & PC 32) Untuk Pasukan Polis Marin di Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Marine Engineering Technology, Lumut, hari ini.

Acryl Sani berkata, penambahan lima aset berkenaan juga akan dapat membantu meningkatkan kecekapan PPM agar lebih berkesan dalam pelaksanaan tugas operasi serta memerangi jenayah.

“Jika dapat lima buah bot lagi, (PPM bercadang untuk menempatkan aset itu) sebuah di Wilayah 3, Pengkalan Kubor; sebuah lagi Miri, Sarawak manakala tiga yang lain untuk Zon Selamat Timur Sabah,” katanya.

Menurutnya, dua bot ronda FAC kelas PC sepanjang 17.6 meter dan lebar 4.6 meter yang baru diterima hari ini membabitkan nilai kontrak RM23.2 juta yang merupakan bot ronda berkelajuan tinggi generasi baharu yang mampu mencapai 45 knot.

“Penempatan bot ini sudah ditetapkan iaitu untuk PC 31 di Markas Operasi PPM Wilayah 2, Muar, Johor dan PC 32 pula di Markas Operasi PPM Wilayah 1, Pelabuhan Klang, Selangor.

“Bot ini juga sesuai untuk penugasan mengejar serta memintas bot penjenayah atau pencerobohan serta menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas kapal di perairan negara dan mempunyai kapasiti bekalan bahan api serta air yang besar.

“Selain itu, bot ini juga mampu berada di kawasan operasi lebih lama dan bergerak untuk jarak lebih jauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 6:06 PM