Mohamad Sabu (Gambar arkib NSTP). FOTO Saifullizan Tamadi
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


PAKATAN Harapan (PH) berdepan cabaran sukar untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), bulan depan.

Ia diakui Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu yang menyatakan persepsi dimainkan parti Barisan Nasional (BN), terutama mengenai isu agama dan perkauman menjadi tumpuan rakyat ketika ini

Bagaimanapun, beliau berkata, PH perlu bekerja keras untuk memberi saingan pada PRK berkenaan.

“PH perlu kerja lebih kuat. Anggapan bahawa PH adalah ‘barua’ DAP masih kuat, selain pihak lawan menggunakan ayat al-Quran.

“Oleh itu, PH kena ambil perhatian dan perlu berjaga-jaga supaya tidak timbul persepsi salah.

“Ia berikutan pihak lawan memang kerja mereka menimbulkan persepsi sebegitu,” katanya pada program Bicara Minda Bersama Menteri Pertahanan di Dewan Karangkraf, Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, PH akan mencari jalan memberi penerangan kepada pengundi berhubung perkara itu.

“Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) yang akan bertanding bukan menjadi faktor kerana semua PRK kita anggap susah tanpa mengira siapa calonnya,” katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak petisyen difailkan Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Pada 29 November tahun lalu, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau, memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2019 @ 9:57 PM