Mohd Khalil (dua dari kanan) beramah mesra dengan orang ramai di IPK Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin


POLIS Johor bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri bagi mengesan dalang yang membuang sisa bahan kimia dikenal pasti sebagai gas metana ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang hingga 79 orang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital sejak kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, polis menerima lima laporan polis membabitkan kes berkenaan dan kertas siasatan dibuka bagi mencari dalang kejadian itu.

Katanya, selain bekerjasama dengan JAS pihaknya mendapatkan sampel sisa bahan kimia untuk disiasat termasuk menyalurkannya kepada Jabatan Kimia.

“Kami menerima lima laporan polis dibuat keluarga pelajar serta orang awam yang terbabit dalam kejadian itu sejak semalam.

“Tindakan membuang sisa kimia berbahaya di kawasan tidak sepatutnya tidak bertanggungjawab dan secara terang tidak menghiraukan keselamatan serta nyawa manusia apa lagi alam sekitar.

“Kita akan mengesan dalang pembuangan sisa kimia ini dengan apa cara sekali pun bagi memastikan mereka bertanggungjawab atas kesalahan besar yang dilakukan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Hari Bertemu Pelanggan Mega Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Mohd Khalil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan kerana menjadikan udara berbahaya kepada nyawa manusia.

“Pada masa sama, kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 284 Kanun Keseksaan kerana cuai berkenaan bahan beracun sehingga membahayakan nyawa manusia.

“Berikutan itu, kami meminta orang ramai yang ada maklumat atau nampak aktiviti membuang sisa kimia berbahaya di sekitar Sungai Kim Kim tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan 1,400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih diarahkan mengosongkan kawasan sekolah jam 10.30 pagi apabila beberapa pelajar muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Sehingga kini, 79 mangsa dirawat di hospital akibat pencemaran gas dengan empat orang termasuk dua pelajar SMK Pasir Putih, seorang pengusaha kantin dan pemandu ambulans masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kejadian dipercayai berpunca daripada pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim oleh pihak tidak bertanggungjawab disyaki dilakukan jam 2 pagi kelmarin.

Berita berkaitan

[UPDATE] Sungai Kim Kim akan dibersihkan

Pembuangan sisa bahan kimia Sungai Kim Kim: 79 dirawat

Sisa minyak cuci kapal

Pekerja kolam pula pengsan

Gas metana: Enam mangsa di ICU

Tekak loya, muntah akibat keracunan gas

Mangsa hidu gas metana stabil

Permaisuri lawat mangsa terhidu gas

Pencemaran gas: Sekolah tutup tiga hari

[UPDATE] 26 masih dirawat, 3 daripadanya di ICU

'Oil boom' halang gas metana merebak

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 12:07 PM