ANGGOTA bomba menyelamatkan wanita berusia 23 tahun di Gunung Datuk, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


BOMBA memerlukan hampir 10 jam untuk menyelamatkan wanita yang mengalami kekejangan otot ketika mendaki Gunung Datuk, di Rembau, hari ini.

Pengarah Bomba Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, misi menyelamat dilakukan pihaknya sebaik mereka menerima panggilan kecemasan pada 9.23 malam tadi.

Katanya, 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Rembau dikerahkan ke lokasi sebelum tiba pada 10.03 malam.

“Pihak kami melakukan pendakian ke puncak gunung bagi menyelamatkan wanita berusia 23 tahun ini. Sebaik tiba, mangsa didapati mengalami kekejangan otot, lemah dan tidak bermaya,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Norazam berkata, pihaknya difahamkan wanita itu bersama 20 pendaki lain sedang menawan tujuh puncak gunung dengan Gunung Datuk Sebagai lokasi terakhir.

“Kumpulan ini sebelum ini dalam pendakian dari Gunung Tampin sebelum memulakan ekspedisi di Gunung Datuk, awal pagi, semalam,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu dibawa turun menggunakan pengusung dan tiba di kaki gunung pada 6.45 pagi.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tampin menggunakan ambulans Jabatan Pertahanan Awam (APM) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Norazam, wanita itu keletihan berikutan bekalan air kehabisan sepanjang menyertai pendakian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 10:08 AM