Izlaily Nurul Ain Hussein

PROSES pembersihan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih yang terjejas teruk akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Khamis lalu, berjalan dengan lancar.

Dua sekolah itu terjejas teruk dengan lebih 30 pelajar dan murid terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) berikutan ancaman gas akibat pembuangan sisa bahan kimia, keadaan itu menyebabkan sesi persekolah ditangguhkan dan bangunan sekolah ditutup sejak Khamis hingga hari ini.

Pengetua SMK Pasir Putih, Warda Ismail berkata, pihaknya memulakan proses pembersihan sekolah sejak 8 pagi dengan bantuan guru sekolah, kakitangan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPJ) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Kita juga mendapat bantuan pekerja pembersihan dari SMK Bandar Seri Alam dan SK Pasir Gudang 3 dengan 25 orang membersihkan bangunan sekolah membabitkan 37 bilik darjah dan 10 bilik khas.

“Kerja pembersihan dilakukan mengikut saranan dan panduan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk menyelenggara penghawa dingin, membasuh semua langsir dan fabrik serta memastikan pengudaraan baik dengan membuka tingkap dan kipas.

“Bomba juga pesan, pakaian yang kami gunakan ketika kerja pembersihan perlu dibasuh secara berasingan dengan pakaian lain,” katanya ketika ditemui di sekolah itu, hari ini.

Beliau berkata, lima guru sekolah berkenan yang mengandung dan menghidap asma dinasihatkan melapor diri di sekolah lain di kawasan berhampiran bagi mengelak risiko mendapat sebarang penyakit.

Katanya, selepas proses pembersihan, pihaknya akan menunggu Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan bomba untuk melakukan pemeriksaan dan menunggu arahan lanjut untuk sesi persekolahan, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 8:24 PM
KAKITANGAN sekolah termasuk guru giat melakukan kerja pembersihan sisa toksik di SMK Pasir Putih. FOTO Mohd Azren Jamaludin