WARGA asing yang ditahan dibawa menaiki trak polis untuk siasatan lanjut. FOTO ihsan polis.
Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 13 individu termasuk 12 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu membabitkan empat agensi di 35 premis sekitar bandar raya Johor Bahru, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, operasi pemutihan selama tiga jam bermula 2 petang itu menggempur pelbagai premis termasuk rumah tumpangan, hotel dan pengurup wang berlesen.

“Operasi bertujuan membersihkan atau pemutihan kawasan bandar raya ini daripada kegiatan jenayah, dadah, ulat parkir, gelandangan dan gejala sosial.

“Kami memeriksa 77 individu dan seramai 13 daripadanya ditahan. Ia membabitkan lapan warga asing dari Bangladesh, India (tiga) dan seorang Nepal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan 140 anggota termasuk kakitangan Pejabat Daerah, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bermula di Dataran Balai Polis Sentral, Johor Bahru.

Menurutnya, seorang warga tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan kerana memiliki empat biji pil ekstasi.

Katanya, sebanyak tujuh tawaran kompaun dikeluarkan MBJB dalam operasi itu.

“Dua tawaran kompaun dikeluarkan kerana meletakkan barang perniagaan di tempat awam (kaki lima) yang boleh menyebabkan halangan.

“Sebanyak lima tawaran kompaun dikeluarkan kerana tiada suntikan typhoid," katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu sebanyak 125 botol minum keras pelbagai jenama dirampas MBJB.

Katanya, selain itu 12 orang dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Taman Setia Tropika bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (4) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal melebihi tempoh pas dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki pas atau permit sah untuk masuk dan berada di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 9:13 PM