Kebakaran lalang di Venice Intan 5, Seri Manjung. FOTO Ihsan Pembaca
Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my


LEBIH dua jam masa diambil pihak bomba untuk memadam sepenuhnya kebakaran lalang di Venice Intan 5, Seri Manjung di tepi Jalan Seri Manjung-Lumut, hari ini.

Kebakaran pada 5.15 petang itu menyebabkan kawasan seluas empat hektar terjejas.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.21 petang.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bersama dua jentera ke lokasi kejadian bagi operasi memadam kebakaran itu.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba melakukan kerja mengawal dan memadamkan kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lebih luas.

“Cuaca panas dan berangin menyebabkan api cepat merebak tetapi tindakan pantas anggota berjaya mengawalnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan tetapi lokasi berkenaan antara lokasi yang kerap berlaku kebakaran lalang di kawasan itu terutama pada musim panas.

“Api berjaya sudah dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat 7.30 malam.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka selain tidak membuang putung rokok merata-rata terutama berhampiran kawasan lalang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 9:53 PM