DUA lelaki kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan. FOTO Ihsan PPM
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan dua lelaki kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di kawasan perairan Singamata, dekat Semporna, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dua lelaki Bajau Laut masing-masing berusia 36 tahun itu ditahan dalam Ops Pensura kira-kira 5 petang.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot menemui beberapa peralatan dan bahan letupan termasuk satu botol kaca berisi baja amonia, kit peledak dan satu kotak mancis kayu, dipercayai untuk aktiviti mengebom ikan.

“Kedua-dua suspek ditahan dan barangan membuat bom ikan serta sebuah bot bersama enjin pam dianggarkan bernilai RM5,796 turut dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (b) Akta Bahan Letupan 1957 kerana kesalahan membuat atau memiliki atau di bawah jagaannya bahan letupan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak lebih dari RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 8:33 AM