Pelajar, Nor Asma Syazwani, 17, dihantar semula untuk menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail tadi selepas hidungnya mengeluarkan cecair kuning ujar bapa mangsa, Zizali Nordin. FOTO Mohd Sabran Md Sani.
Mohd Sabran Md Sani


"HARI ini sekali lagi saya menghantar anak ke hospital selepas melihat hidungnya mengeluarkan cecair berwarna kuning seakan nanah," kata Zizali Nordin Awang, 50, bapa kepada seorang pesakit yang dirawat di Hospital Sultan Ismail akibat terhidu gas kimia metana pada Khamis lalu.

Pekerja swasta itu berkata, dia terkejut dengan simptom terbaharu membabitkan anak perempuannya, Nor Asma Syazwani, 17, selepas dirawat di wad hospital itu empat hari lalu.

"Kebetulan malam tadi, anak saya dibenarkan keluar dari wad hospital selepas empat hari di rawat akibat sesak nafas, sakit belakang, perut memulas, muntah dan menggigil.

"Bagaimanapun malam tadi ada ada lelehan berwarna kuning cair dari hidungnya dan ia berlaku lagi pagi ini.

"Saya syak cecair yang keluar seperti nanah itu adalah kesan pencemaran gas kimia yang dibuang di sungai Kim Kim. Susulan itu saya segera menghantar anak saya semula untuk mendapatkan rawatan lanjut jam 4 petang ini," katanya ditemani isteri dan empat anaknya yang lain.

Katanya, anaknya sebelum ini dikejarkan ke hospital pada jam 10 pagi Khamis lalu dan dimasukkan ke wad unit rawatan rapi (ICU) selepas mengalami simptom keracunan akibat terhidu gas kimia di sekolahnya.

"Pagi itu (hari kejadian) saya terima mesej daripada aplikasi WhatsApp meminta ibu bapa membawa pulang anak-anak.

"Ketika itu saya tidak tahu anak saya antara yang dihantar ke hospital akibat terhidu gas kimia terbabit hinggalah dimaklumkan guru ketika ke sekolah," katanya.

Dia kemudian bergegas ke hospital untuk melihat keadaan anak perempuannya itu sebelum dibenarkan melawat pada jam 4 petang.

"Selepas empat hari di rawat termasuk wad ICU dan wad biasa, barulah malam tadi dia dibenarkan pulang ke rumah, namun keadaan kesihatannya masih belum stabil," katanya.

Katanya, meskipun sesi persekolahan bermula pagi ini, namun dia hanya membenarkan seorang daripada empat anaknya itu bersekolah.

"Saya terpaksa menghantar seorang anak ke sekolah menengah kerana ada peperiksaan hari ini, namun dua lagi yang bersekolah di sekolah rendah dicutikan atas faktor keselamatan kerana masih kecil," katanya.

Katanya, melihat kepada perkembangan semasa itu, tidak sewajarnya pihak berwajib tergesa-gesa membuka sesi persekolahan.

"Kalau nak diikutkan pada pendapat sayalah, sepatutnya, kita tunggu dulu, biar tidak ada mangsa baharu.

"Itu yang saya tidak puas hati dan akhirnya kita boleh lihat lebih ramai pelajar diusung ke hospital hari ini,” katanya.

Berita berkaitan

3 suspek buang sisa bahan kimia ditahan

Berita berkaitan

Pencemaran gas: Dua sekolah diarah kosong semula [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 6:08 PM