Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


EMPAT individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, atas 13 pertuduhan memperdagangkan wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi seks, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Wei Siong, 22; Tan Heng Wah, 44; Sech Chung Hing, 42 dan wanita, Liew Mee Yen, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut semua kertas pertuduhan, mereka berempat didakwa memperdagangkan 11 wanita warga Vietnam dan dua warga Indonesia berusia antara 31 hingga 38 tahun bagi tujuan eksploitasi seks.

Perbuatan itu dilakukan di Kawasan Pembinaan, Lot 2221, Jalan Tanjung Kupang, Gelang Patah di Johor Bahru, pada 8.45 malam, 16 Februari lalu.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.


ANGGOTA polis membawa Tan Wei Siong, 22, Tan Heng Wah, 44, Sech Chung Hing, 42, dan Liew Mee Yen, 40, keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas semua 13 pertuduhan memperdagangkan 13 wanita Vietnam untuk eksploitasi seks, di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed

Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan untuk setiap seorang tertuduh, namun dibantah peguam Mohd Asram Zakaria.

Mohd Asram yang mewakili Wei Siong, Chung Hing dan Mee Yen, selain menyebutkan bagi pihak peguam Mazri Muhammad yang mewakili Heng Wah, menyatakan bahawa semua tertuduh sebelum ini diberi jaminan polis dan hadir ke mahkamah tanpa gagal bagi pendakwaan, hari ini.

Beliau berkata, tertuduh ada yang bekerja di kedai makan, menjaga kaunter, tidak bekerja dan pemandu, hanya berpendapatan antara RM1,200 hingga RM1,800 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM30,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan.

Hakim turut menetapkan syarat tambahan kepada semua tertuduh supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu mangsa terbabit.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 hingga 27 Mac ini bagi merakam keterangan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 1:25 PM