NORIPAH (kanan) beramah mesra dengan mahasiswa yang mendapat pembiayaan Yayasan Bank Rakyat (YBR). FOTO Nik Hariff Hassan
NORIPAH (kanan) beramah mesra dengan mahasiswa yang mendapat pembiayaan Yayasan Bank Rakyat (YBR). FOTO Nik Hariff Hassan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


YAYASAN Bank Rakyat (YBR) menawarkan Biasiswa Bank Rakyat bagi membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke peringkat asasi dan ijazah sarjana muda di Universiti Awam (UA) serta institusi pengajian tinggi swasta di dalam atau luar negara.

Pengerusi Bank Rakyat merangkap Pengerusi YBR, Datuk Noripah Kamso berkata, biasiswa itu adalah usaha YBR dalam membantu melahirkan modal insan yang bukan sahaja inovatif dan kompeten malah berkemahiran tinggi serta menepati kehendak pasaran masa kini.

Noripah berkata, YBRA adalah yayasan terbaik di Malaysia dalam menyediakan bantuan pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat sama ada yang kurang berkemampuan atau berpotensi tinggi.

Katanya, setiap tahun YBR memperuntukkan 70 peratus daripada dana yang diterima daripada Bank Rakyat serta ahli untuk pembiayaan pendidikan serta insentif biasiswa kepada pelajar cemerlang.

“YBR memperuntukkan RM2.25 juta untuk program biasiswa tahun ini dan ia adalah daripada peruntukan keseluruhan pembiayaan pendidikan berjumlah RM24.88 juta.

“Kami percaya, dengan peruntukan biasiswa itu serta program modal insan yang menyeluruh akan berupaya memacu kecemerlangan dalam kalangan pelajar berpotensi sekali gus menjayakan misi kerajaan ke arah menjana modal insan berkualiti dengan minda kelas pertama.

“YBR akan terus komited menaja program inovatif yang berimpak tinggi, menjurus kepada pembangunan pendidikan dan komuniti bagi memenuhi objektif landskap pendidikan negara” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Biasiswa Bank Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin.

Mengulas lanjut mengenai biasiswa berkenaan, Noripah berkata, sejak penubuhannya pada 2007, yayasan terbabit menyediakan peruntukan pembiayaan pendidikan sebanyak RM131.5 juta.

Katanya, sehingga kini, produk pembiayaan YBR memberi manfaat kepada 4,904 pelajar daripada pelbagai latar belakang keluarga.

“Daripada jumlah itu, seramai 2,839 pelajar sudah menamatkan pengajian dan sehingga Disember lalu, program pembangunan modal insan YBR memberi kesan kepada 355,091 pelajar dengan jumlah peruntukan sebanyak RM38.87 juta,” katanya.

Sementara itu, permohonan biasiswa berkenaan terbuka kepada warga negara Malaysia berumur 18 hingga 30 tahun yang akan melanjutkan pengajian dalam bidang data sains, pengkomputeran, kejuruteraan, teknologi maklumat, pengurusan dan kemanusiaan.

Pemohon yang ingin melanjutkan pengajian pada peringkat asasi atau matrikulasi perlu memperoleh sekurang-kurangnya lapan A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2018.

Bagi pemohon peringkat ijazah sarjana muda pula perlu memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) , Sijil Tinggi Agama Malaysia, asasi, matrikulasi atau diploma.

Mereka yang berminat, permohonan kini dibuka sehingga 28 Mac ini menerusi aplikasi telefon pintar MyBR serta laman sesawang, www.yayasanbankrakyat.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 3:03 PM