FOTO Hiasan.
Murni Wan Omar


AKIBAT memiliki enam kad mesin juruwang automatik (ATM) milik orang lain, seorang pekerja syarikat pengiklanan dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Yeo Tien Pin, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Jika gagal membayar denda berkenaan, mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara sebulan.

Yeo didakwa memiliki enam keping kad ATM yang bukan miliknya dan gagal memberikan keterangan munasabah berhubung pemilikan kad itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di premis Papparich Bandar Kinrara, Petaling Jaya pada 3.30 petang 8 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, Yusri Yusoff memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Berdasarkan fakta kes, pihak polis membuat risikan berdasarkan maklumat mengenai laman Facebook profil ‘Rick Yeo’ yang membuat iklan berhubung mahu membeli kad ATM.

Tertuduh didakwa mahu membeli setiap kad ATM dengan harga RM450 dan kad itu digunakan untuk transaksi perjudian kasino atas talian.

Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menahan tertuduh selepas mereka menyamar sebagai pelanggan untuk menjual kad ATM itu.

Hasil pemeriksaan terhadap tertuduh, polis menjumpai enam keping kad ATM daripada pelbagai bank yang bukan miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 7:42 PM