Solat hajat diadakan di Masjid An-Nur Pasir Gudang, Johor, malam ini, susulan kejadian pencemaran gas metana. FOTO Ihsan PPD Pasir Gudang.
Mohd Sabran Md Sani


KIRA-kira 300 guru dan ibu bapa 16 sekolah yang terjejas akibat pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, menyertai Majlis Solat Perdana, Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid An-Nur Pasir Gudang, Johor, malam ini.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pra Sekolah/Permata Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang, Hamdan Abdul berkata, program solat hajat diimamkan Alfadhil Imam Mahadhir Abdan bagi memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya dijauhkan daripada bencana.

“Tujuan utama solat hajat perdana ini untuk sama-sama memohon kepada Ilahi supaya dihindari daripada perkara-perkara tidak diingini termasuk keselamatan warga sekolah dan orang ramai daripada kejadian itu (keracunan gas metana),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Program solat hajat perdana itu anjuran PPD Pasir Gudang, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, Kadi Besar Johor, Anuar Sarimin dan Kadi Daerah Johor Bahru, Ustaz Zulkifli Mohamad.

Katanya, 16 sekolah terbabit menghantar 10 wakil termasuk guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Antara guru yang menyertai solat hajat dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri Resort, SMK Kota Masai, SMK Kota Masai 2, SMK Pasir Gudang 1, SMK Pasir Gudang 2 dan SMK Pasir Gudang 3.

Turut serta, guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, SK Kota Masai, SK Kota Masai 2, SK Taman Cendana, SK Taman Bukit Dahlia, SK Pasir Gudang 1, 2, 3 dan 4.

Menurutnya, di peringkat sekolah juga sudah melaksanakan majlis solat hajat dianjurkan sekolah masing-masing.

“Bagaimanapun pada kali ini, program dianjurkan secara besar-besaran selepas enam hari pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim berlaku,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 10:00 PM