Hadzlihady Hassan


GEORGETOWN: “Syukur kerana kami akhirnya dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan ditawarkan rumah sewa beli,” kata Nazrimah Jamal Abidin, 44.

Nazrimah antara penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang diusir dan tinggal di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, sejak seminggu lalu.

Menurutnya, semua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan diberi tempoh dua minggu untuk urusan perpindahan.

“Tuntutan kami akhirnya dipersetujui dan penduduk diberi rumah sewa beli di beberapa kawasan.

“Kami diberi tempoh dua minggu untuk urusan perpindahan dan sekiranya masih ada yang belum selesai, tempoh itu dilanjutkan selama dua minggu lagi,” katanya ketika ditemui di KOMTAR, semalam.

Menurutnya, penduduk ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu mereka terutama wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus-lumus menyelesaikan kemelut dihadapi mereka.


PENDUDUK PPR Taman Manggis, Jalan Sultan Zainal Abidin yang berkampung di pekarangan KOMTAR dibenarkan pulang untuk urusan perpindahan.

“Saya diberi rumah sewa beli dengan bayaran RM230 sebulan termasuk kos penyelenggaraan di Lebuh Maccalum.

“Alhamdulillah, selepas ini keadaan akan lebih teratur dan anak dapat kembali semula ke sekolah seperti biasa kerana kami dibenarkan pulang,” katanya.

Terdahulu, rundingan antara EXCO Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, bersama wakil penduduk yang berlangsung hampir lima jam mencapai kata putus apabila kerajaan negeri memberikan tawaran alternatif kepada penduduk terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain berkata, penyewa yang diusir dan ‘berkampung’ di KOMTAR dibenarkan pulang ke unit PPR masing-masing semalam.

“Tuntutan penyewa setakat ini dipersetujui kerajaan negeri. Jika semua urusan perpindahan selesai, penyewa akan mengosongkan unit PPR terbabit.

“Hari ini (semalam) adalah hari terakhir mereka di KOMTAR dan penduduk beredar selepas solat Isyak serta doa kesyukuran,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 8:30 AM