Skip this ad x
Rozita (kir) memberi ubat kepada Nur Syakila yang menghidap AML. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad


“DOKTOR jangka anak hanya ada masa enam bulan saja lagi selepas rawatan kemoterapi dihentikan awal tahun lalu kerana berdepan dengan risiko jika rawatan itu diteruskan,” kata Rozita Harun, 40.

Rozita adalah ibu kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down, Nur Syakila Mohd Zakir, 4, yang menghidap Acute Myeloid Leukimia (AML) sejak September lalu.

Ibu tiga anak itu berkata, penyakit terbabit dikesan selepas anak bongsunya mengalami demam berpanjangan di samping kelihatan pucat dan tidak bermaya.

“Mulanya saya ingat dia demam biasa... saya dan suami, Mohd Zakir Basirun, 41, hanya membawanya ke klinik, namun selepas demamnya tidak juga kebah, kami bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Anak dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) sebelum keputusan darah dan air sum sum tulang mengesahkan dia menghidap AML,” katanya ditemui di rumah mereka di Bandar Amanjaya, Sungai Petani hari ini.

Rozita berkata, anaknya itu sempat menjalani rawatan kemoterapi empat kali sebelum doktor meminta rawatan itu dihentikan kerana keadaan anaknya semakin lemah.

“Tiga kali dia menjalani kemoterapi, doktor kata kuman sudah tiada tapi Januari lalu, sel kanser kembali menyerang membuatkan anak saya sekali lagi perlu menjalani rawatan kemoterapi.

“Namun, rawatan kali keempat tidak menunjukkan perkembangan positif sebaliknya bacaan sel darah putihnya semakin meningkat dan badannya juga semakin lemah menyebabkan doktor terpaksa menghentikan rawatan kemoterapi atas faktor keselamatan,” katanya.

Rozita berkata, biarpun anaknya dikatakan tidak lagi dapat dirawat dengan kaedah perubatan hospital, dia dan suami sangat berharap dapat mencari penawar untuk penyakit anak mereka itu menerusi rawatan alternatif walaupun ia dianggap mustahil untuk disembuhkan.

Namun katanya, pendapatan suami yang hanya bekerja sebagai penghantar surat selain mempunyai dua anak yang bersekolah berusia enam dan 10 tahun menyukarkan hasrat mereka untuk mengubati Nur Syakila.

“Ramai mencadangkan beberapa tempat rawatan alternatif kepada kami, namun kami tiada wang mencukupi untuk mendapatkan rawatan di situ memandangkan kami perlu menanggung keperluannya yang lain seperti lampin pakai buang dan susu khas,” katanya.

Selain itu, Nur Syakila juga adalah penerima bantuan OKU RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bagi mereka yang ingin membantu bolehlah menghulurkan sumbangan ke akaun RHB milik Rozita bernombor 10202300637015.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 10:42 AM