Pelajar lelaki diangkat untuk mendapatkan rawatan selepas terhidu gas kimia. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Pelajar terjejas memasuki Dewan Komuniti Taman Pasir Putih bagi mendapatkan rawatan kecemasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Mohd Sabran Md Sani


SELEPAS kerajaan negeri mengumumkan 13 sekolah ditutup, dua lagi sekolah di Taman Scientax, Pasir Gudang berkemungkinan berdepan situasi sama apabila pelajar di sekolah itu mengalami simptom sesak nafas, pening, loya dan muntah akibat terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim.

Insiden terbaru itu membabitkan murid dan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Scientax dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientax dengan lokasi kejadian kira-kira 11 kilometer dari sungai berkenaan.

Tinjauan mendapati, ambulans bertali arus membawa murid dan pelajar mendapatkan rawatan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih 10.30 pagi ini.

Pelajar di kedua-dua sekolah itu dilihat meninggalkan perkarangan sekolah dipercayai selepas mendapat arahan bomba bagi penutupan operasinya pagi ini.

Kejadian terbaru itu selepas 260 pelajar termasuk orang awam dari SK Tanjung Puteri Resort dan SMK Tanjung Puteri Resort diberikan rawatan akibat terhidu gas kimia pencemaran dari Sungai Kim Kim semalam.

Tidak mahu memperjudikan nyawa lebih 10,000 pelajar, kerajaan Johor memutuskan 13 sekolah terjejas akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, ditutup sementara bermula hari ini hingga keadaan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, keputusan itu dibuat menerusi persetujuan dicapai Mesyuarat Pengaktifan Jawatankuasa Kerja, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Tinjauan di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih mendapati petugas kesihatan bersiap sedia menerima pesakit yang datang mendapatkan rawatan kecemasan selepas mangsa mengalami tanda sesak nafas, pening, loya dan muntah.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 12:03 PM