Zulkiflie yang cedera muka, badan dan kaki kini
Muhamaad Razis Ismail


PENOREH getah cedera selepas terkena tembakan peluru penabur shotgun (senapang patah) dilepaskan seorang lelaki di Kebun Getah, Kampung Alor Botol, Bukit Kechik, Tanah Merah semalam.

Kejadian jam 9 pagi itu menyebabkan mangsa Zulkiflie Awang Hamat, 62, cedera pada muka, badan dan kaki sebelum dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.

Lelaki berusia 64 tahun yang juga penoreh getah ditangkap selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dengan membawa bersama selaras shotgun 12 bore, buku lesen senjata api miliknya dan tujuh butir peluru.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad, berkata suspek keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Bendang Gok di sini untuk mencari madu dengan membawa senapang patah serta lapan butir peluru.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, suspek terserempak dengan seekor ular tedung selar sebelum dia melepaskan satu das tembakan.

“Sebaik tembakan dilepaskan, tiba-tiba suspek terdengar suara orang meminta tolong dalam jarak kira-kira 70 meter di sebalik semak sebelum melihat seorang lelaki mengalami kecederaan.

“Suspek kemudian menghubungi anak mangsa sebelum membawa bapanya ke Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan.

“Kita difahamkan ketika kejadian mangsa sedang menoreh getah di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka termasuk mata, badan, dan kaki itu dalam keadaan separuh sedar dan masih boleh bercakap.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan bukan di suatu tempat yang dibenarkan dan Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan parah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 6:49 PM