GAMBAR hiasan


AKTIVITI keagamaan sekumpulan tujuh sahabat berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas dalam kejadian di kawasan air terjun Lata Tembakah, Pasir Akar, Hulu Besut, di Jertih, semalam.

Mangsa, Chua Kim See, 46, ditemui orang awam tersepit di celah batu di kawasan air terjun berkenaan, 4.45 petang semalam.

Chua, dari Tanah Merah, Kelantan dikatakan ke kawasan berkenaan bagi menjalankan aktiviti keagamaan, namun malang apabila dia ditemui tersepit di celah batu di dasar air terjun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama enam rakan terdiri daripada dua lelaki dan empat perempuan, dikatakan ke kawasan perkelahan itu bagi menjalankan aktiviti keagamaan pada 2.45 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa bersama rakannya dikatakan naik ke kawasan berbatu di kawasan itu sebelum berpecah kepada dua kumpulan.

“Mangsa bersama rakannya dikatakan naik ke kawasan berbatu untuk menjalankan aktiviti sembahyang dengan menutup mata,” katanya.

“Bagaimanapun ketika berada di atas batu, mangsa dipercayai tergelincir dan terjatuh sebelum ditemui tersepit di celah batu di dasar air terjun oleh pengunjung yang mandi di kawasan berkenaan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, sebaik ditemui, rakan mangsa kemudian berusaha membawa naik mangsa ke kawasan pasir.

Menurutnya, usaha menyelamatkan mangsa dilakukan rakannya menggunakan kaedah bantuan pernafasan (CPR) namun gagal.

Mohd Zamri berkata, polis kemudian membawa mayat mangsa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 8:29 AM