SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Pasir Pelangi Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi memperhebatkan operasi menyelamat, merawat serta mencegah pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bertitah, sumbangan itu bagi membolehkan agensi penyelamat serta pihak berkuasa terbabit dalam operasi itu melengkapkan pasukan masing-masing dengan kemudahan yang diperlukan.

“Tuanku Sultan ada membincangkan perkara ini dengan saya sebagai Penasihat DiRaja Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan baginda tersentuh apabila mendengar satu klip rakaman yang mana seorang lelaki menangis sambil meminta bantuan menyelamatkan anaknya.

“Tuanku Sultan turut berpendapat dengan sumbangan peribadi baginda, ia dapat membantu pihak berkuasa serta agensi penyelamat seperti Bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperlengkapkan pasukan mereka demi membantu rakyat,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) yang disiarkan menerusi Facebook baginda.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Sultan Johor murka dan kesal terhadap mereka yang terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim, Pasir Gudang sehingga memudaratkan kesihatan murid, pelajar sekolah serta orang awam sekitar kawasan itu.

Sultan Johor mahu pihak berkuasa melakukan siasatan menyeluruh terhadap insiden itu serta mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melakukan perbuatan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 9:19 AM