Fazlysham menunjukkan gambar suspek yang diminta tampil bagi membatu siasatan. FOTO Roslin Mat Tahir
Siraj Mohd Zaini


POLIS Selangor mengesan 115 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes jenayah komersial di negeri itu sejak 2003 sehingga kini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor Asisten Komisioner Fazlisyam Abd Majid berkata, semua suspek berkenaan berusia 19 hingga 60 tahun dan ada antara mereka menetap di luar negeri ini.

Menurutnya, 29 individu adalah wanita manakala selebihnya adalah lelaki membabitkan pelbagai bangsa.

“Seramai 94 suspek terbabit dengan jenayah penipuan, pecah amanah (15), Akta Penapisan Filem (4) dan masing-masing seorang suspek berkaitan kes Akta Pemberian Pinjaman Wang dan Akta Jenayah Komputer.

“Mereka yang dikehendaki polis ini terbabit dengan pelbagai jenayah komersial di Selangor sejak 2003 hingga kini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap semua individu itu tampil memberikan kerjasama dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Katanya, semua gambar suspek juga dipaparkan di dalam akaun rasmi Facebook (FB) Polis Selangor.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu ini juga boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat JSJK Selangor atau ke balai polis berhampiran.

“Dalam masa sama juga, polis juga sedang mempergiatkan usaha mengesan semua suspek berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 1:45 PM