Shee Fook dipenjara 26 bulan atas pertuduhan penggubahan wang haram. FOTO Siraj Mohd Zaini
Siraj Mohd Zaini


BANDUAN lelaki warga emas meringkuk di penjara lebih lama apabila ditambah hukuman penjara 26 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram RM285,000 empat tahun lalu.

Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Shee Fook, 71, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa menggunakan wang RM35,000 dan RM250,000 iaitu hasil aktiviti penggubahan wang haram dari akaun simpanan miliknya.

Perbuatan itu dilakukan di dua bank masing-masing di Seri Kembangan dan Bandar Baru Seri Petaling antara 13 hingga 17 Februari 2015.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta mengikut mana-mana lebih tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman bagi kesalahan itu dijalankan serentak dengan hukuman penjara yang sedang dijalankan terhadapnya ketika ini.

“Saya memohon hukuman dijalankan serentak dengan hukuman penjara yang dilalui ketika ini selain saya juga menghidap kencing manis dan saya juga menyesali di atas segala perbuatan saya dulu,” katanya di dalam prosiding berkenaan.

Difahamkan, tertuduh sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga Januari 2021 atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Syafinaz Shabudin memohon agar hukuman dijalankan secara berasingan atas alasan kesalahan yang dilakukan berlainan pertuduhan.

Yang Zaimey kemudiannya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu selepas hukuman yang dihadapinya sebelum ini berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 3:31 PM