Premis dan peralatan digunakan sindiket judi dalam talian yang mensasarkan kaki judi dari Indonesia diserbu polis. FOTO Ihsan PDRM
Mohd Azam Shah Yaacob


LAPAN lelaki termasuk seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam sindiket pertaruhan judi dalam talian ditahan di sebuah kondominium di Sunway Velocity di Jalan Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Serbuan menerusi Ops Dadu itu dijalankan Unit Pencegahan Perjudian (D7A) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Unit Forensik JSJ dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 3.50 petang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan mendapati pusat judi di unit kondominium terbabit sudah beroperasi sejak tujuh bulan lalu.

Menurutnya, sindiket judi berkenaan didapati mensasarkan kaki judi dari Indonesia dan mereka beroperasi 24 jam.

“Kesemua individu yang ditahan berusia antara 23 tahun hingga 38 tahun.

“Tujuh daripada mereka itu bekerja sebagai operator, manakala seorang lagi lelaki dipercayai pengurus pusat judi berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rohaimi berkata, kesemua ahli sindiket warga Indonesia berkenaan juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah berikutan pas lawatan mereka sudah tamat tempoh.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket itu menguruskan wang pertaruhan sebanyak 20 juta rupiah sehari (RM6,000).

“Kesemua urusan pertaruhan termasuk pembayaran wang kemenangan kepada pelanggan mereka dibuat menerusi transaksi dalam talian.

“Mereka turut mempromosikan perjudian yang ditawarkan menerusi sebuah laman sesawang,” katanya.

Menurut Rohaimi, kesemua mereka itu kemudiannya dibawa ke IPD Cheras untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 6:40 PM