LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


“SEBELUM ini emak rajin bercakap dengan kami, namun sejak tinggal dengan adik keempat, dia sering murung dan jarang bercakap,” kata anak kedua warga emas berusia 64 tahun yang cedera dipercayai didera.

Warga emas itu diselamatkan dari rumahnya di Flat Desa Wawasan, Bukit Mertajam, 1 tengah hari semalam dengan luka dan lebam di seluruh badan, selain dipercayai mempunyai kesan patah lama pada anggota badannya.

Anak kedua berusia 38 tahun itu berkata, ibunya mempunyai tujuh anak dengan dua daripadanya sudah diserahkan sebagai anak angkat ketika kecil.

Katanya, ketika ini, adik keempatnya (lelaki) berusia 32 tahun, bersama isteri, 28, dan adik perempuan berusia 35 tahun tinggal di rumah berkenaan.

Katanya, dia percaya adik keempatnya mungkin melakukan perbuatan itu dalam tempoh empat bulan menetap di rumah ibu mereka.

“Sebelum ini, ibu tinggal bersama adik bongsu lelakinya berusia 30 tahun, ketika itu dia rajin bercakap serta tidak menunjukkan sebarang tanda kemurungan.

“Adik kemudian berpindah keluar dan tinggal di Butterworth atas sebab tidak diketahui, sebelum adik perempuan berpindah masuk dari Parit Buntar, Perak kerana mengandung dan memerlukan rawatan di Hospital Bukit Mertajam,” katanya.

Katanya, empat bulan lalu pula, adik keempat dan isterinya berpindah masuk, sedangkan dia sendiri sudah ada unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan itu.

“Sejak itulah, saya perasan mak sudah kurang bercakap dan bercerita seperti selalu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia tinggal di Bagan Lalang, Sepang dan hanya mengetahui ibunya dicederakan selepas dilaporkan polis semalam.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd Noor Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati menantu mangsa adalah Orang Kurang Upaya (OKU) dan mereka sekeluarga mendapat ihsan orang ramai serta bantuan daripada JKM dan Zakat Pulau Pinang.

“Jiran juga tidak mengetahui berapa lama mangsa ditinggalkan dan pihak kami belum mengambil sebarang tindakan kerana ia dalam disiasat polis.

“Oleh kerana kes ini diserahkan kepada polis untuk siasatan dan mangsa juga perlu menerima rawatan lanjut kami akan mengambil tindakan selepas semuanya selesai,” katanya.

Menurutnya, pihak JKM juga akan meneliti laporan pemeriksaan mental yang dilakukan ke atas mangsa bagi memudahkan tindakan yang sewajarnya diambil.

Beliau berkata, pihaknya akan menghubungi semua anaknya untuk berbincang bagi menjaga kesejahteraan mangsa selepas polis menyelesaikan kes mangsa.

Berita berkaitan

'Kurung, pukul ibu dengan kayu [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 7:07 PM