GAMBAR diambil semalam menunjukkan keadaan Sungai Kim Kim. FOTO Khairul Ghazali
GAMBAR diambil semalam menunjukkan keadaan Sungai Kim Kim. FOTO Khairul Ghazali
Mary Victoria Dass


KERAJAAN negeri mengalu-alukan sumbangan topeng muka jenis R95 yang kehabisan stok ketika ini akibat permintaan tinggi orang ramai berikutan pencemaran gas kimia di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, sejak seminggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya menerima rungutan penduduk yang mengalami kesulitan bagi mendapatkan bekalan barangan itu sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya, kesedaran orang ramai bagi menggunakan penutup hidung dan mulut terutama ketika mengadakan aktiviti di luar semakin meningkat dan ia menunjukkan kebanyakan penduduk Pasir Gudang mengambil langkah pencegahan dalam menghadapi pencemaran gas kimia yang berlaku sejak 7 Mac lalu.

“Bekalan berkenaan dikatakan sudah kehabisan stok kerana terlalu laris di pasaran dan sukar didapati namun pada masa kini ia amat diperlukan terutama bagi kegunaan di pusat saringan.

“Saya dihubungi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk menyalurkan sumbangan berkenaan.

“Namun sekiranya kerajaan negeri lain mahupun ada pihak yang ingin menyumbangkan barangan itu, ia dialu-alukan,” katanya.

Sahruddin berkata, pihaknya juga berharap agensi berkaitan memantau harga barangan berkenaan bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menjual dengan harga tinggi.

Harian Metro sebelum ini melaporkan jualan topeng muka di beberapa farmasi di sekitar Pasir Gudang laris hingga sesetengah farmasi kehabisan stok mulai hari ini.

Jurucakap sebuah farmasi di Pasir Gudang berkata, sejak kelmarin, jualan topeng muka di farmasi mencecah hingga 500 keping sehari.

Permintaan topeng jenis R-95 paling tinggi, namun kebanyakan farmasi tidak menjual topeng berkenaan menyebabkan penduduk terpaksa membeli topeng N-95.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai hanya dapat membeli penutup hidung dan muka.

Bagi menyalurkan sumbangan topeng muka atau sumbangan berkaitan, boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di talian 07-2522143 atau 07-2532143.

Berita berkaitan

Sungai Klang pula tercemar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 11:03 AM