Satu tayar ditemui di Sungai Kim Kim yang dipercayai menjadi lokasi pembuangan sisa kimia. FOTO Mohd Azren Jamaludin
BERNAMA

PENJENAYAH alam sekitar Sungai Kim Kim di Pasir Gudang, Johor yang mengakibatkan pencemaran teruk sehingga menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang, boleh dijejaki, kata pakar Kejuruteraan Alam Sekitar, Dr Norazian Mohamed Noor.

Pensyarah kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berkata, perkara itu boleh dibuat sebaik pakar forensik kimia selesai menganalisis sampel bahan kimia yang diambil dari sungai yang menjadi tempat pembuangan sisa kimia itu.

“Identiti penjenayah alam sekitar itu akan dapat dikenal pasti apabila bahan unik dalam kompaun kimia dikenal pasti seperti D-Limonene, Toluene, Xylene dan Ethylbenzene.

“Ciri-ciri istimewa kompaun ini masih boleh diperincikan melalui ujian lanjut,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sejak pencemaran teruk itu dikesan 7 Mac lalu, lebih 1,500 orang mangsa mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk kesukaran bernafas dan ada yang masih dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Dr Norazian berkata, penemuan D-Limonene iaitu bahan kimia hasil proses penguraian tayar yang juga bahan utama ditemui dalam sampel air yang diambil Jabatan Alam Sekitar adalah contoh terbaik.

“Pakar forensik kimia akan mengenal pasti bahan-bahan unik dalam sampel itu untuk membuat profiling bahan.

“Profiling ini akan membawa kepada pelaku sebenar kerana setiap produk yang dihasilkan ada ciri-ciri unik berbeza dan boleh dikenal pasti,” katanya.

Dr Norazian berkata, kaedah itu memudahkan pihak berkuasa untuk menjejaki pengeluar, pembekal dan pembeli bahan terbabit walaupun terdapat lebih 250 kilang perindustrian di Pasir Gudang.

Sebagai maklumat latar belakang, industri lain menggunakan bahan kimia berbeza dan menghasilkan sisa kimia yang berbeza.

Katanya, ciri-ciri unik sesuatu bahan, yang membezakannya dengan bahan kimia lain yang dikenal pasti, akan memudahkan proses menjejaki pelaku.

“Bahan kimia ini termasuk gas ‘volatile organic compounds’ (VOCs) seperti metana dan benzana, gas hidrogen klorida, sulfur dioksida dan hidrogen sianida selain gas yang dikeluarkan secara langsung,” katanya.

Menurut Dr Norazian, kesan gas itu tidak sama kepada setiap orang kerana bergantung pada beberapa faktor antaranya tempoh terdedah pada gas, usia dan kesihatan mangsa.

Beliau menasihati masyarakat supaya tidak mengambil mudah kesan pembuangan bahan kimia kerana gas toksik boleh terhasil daripada tindak balas bahan kimia.

“Kanak-kanak dan orang tua lebih mudah merasai kesan kerana daya tahan dan imunisasi badan tidak kuat.

“Kepekatan gas toksik yang tinggi akan membuatkan oksigen yang disedut berkurangan dan boleh menyebabkan kesesakan nafas,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 5:54 PM