GAMBAR fail menunjukkan kerja pembersihan Sungai Kim Kim. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


“IBU, adik sakit tapi nak balik rumah,” itulah perkataan pertama diucapkan Affza Balqis Ahmad Sahrel, 14, mangsa pencemaran Sungai Kim Kim yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Ibunya, Noor Atikah Daud, 47, berkata, dia bersyukur anaknya yang lebih mesra dipanggil adik tidak lagi kritikal dan bertambah sihat.

“Sebaik sedar, Rabu lalu, itulah perkataan pertama diucapkan adik. Alhamdulillah... keadaannya semakin pulih.

“Adik masih di HSI dan semua alat sokongan sudah dibuka kecuali satu jarum di tangan sebagai persediaan jika dia memerlukan apa-apa rawatan.

“Alhamdulillah dia beransur pulih berkat doa semua. Doktor kata, jika tiada apa-apa masalah adik dibenarkan pulang tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, adik tidak mahu terus tinggal di hospital sebab malu... semua jururawat yang uruskan dirinya.

Suri rumah itu berkata, bagaimanapun, anaknya masih belum ada selera makan.

“Saya bagi dia minum air soya, selain makan roti dan kuih untuk dapatkan tenaga.

“Saya okey, cuma berat hati mahu pulang Pasir Gudang. Niat nak pulang ke Kelantan (selepas Affza pulih), tapi suami bekerja dan saya tidak boleh tinggalkan dia sendirian kerana suami ada masalah jantung,” katanya.

Noor Atikah berkata, keluarganya juga tidak bercadang membuat laporan polis berhubung maklumat palsu yang disebarkan individu tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak terfikir mahu membuat laporan polis, abaikan berita palsu, apa yang penting adik sudah sihat, alhamdulillah dia di depan mata saya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 12:00 PM