AHLI keluarga murid membawa pulang anak mereka selepas mengalami tanda sesak nafas, loya dan muntah seperti simptom keracunan dipercayai terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2, Masai Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed
Khairul Azran Hussin


SEMUA 111 sekolah di daerah Pasir Gudang masih ditutup sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata, keputusan menutup sekolah itu adalah yang terbaik buat masa ini demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

“Sekolah sudah tutup dan kita tidak ada tarikh bila (sekolah dibuka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Bahagian Pendidikan Swasta di Universiti MAHSA di Kuala Langat, hari ini.

Rabu lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menutup semua sekolah di Pasir Gudang susulan pencemaran sisa bahan kimia.

Semalam Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kawasan seluas 680 meter daripada 1.5 kilometer paling tercemar di Sungai Kim Kim sudah dibersihkan.

Beliau berkata, kerja pembersihan berkenaan dilakukan selama 24 jam oleh tiga kontraktor dilantik membabitkan 90 pekerja bermula Rabu lalu.

Katanya, sejumlah 250 beg besar berisi tanah dan bahan enap cemar serta 350 metrik tan air tercemar dikumpulkan dalam operasi yang bermula sejak 13 Mac lalu dan akan dilupuskan ke kilang yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor.

Lapan sebatian kimia berbahaya disahkan dibuang di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang antaranya metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene and limonene.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 12:09 PM