NORIZAN (gambar kecil) maut akibat dihempap pokok ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di belakang Masjid Ubudiah, Kampung Lembah Masjid, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG wanita maut akibat dihempap pokok ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di belakang Masjid Ubudiah, Kampung Lembah Masjid, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, hari ini.

Dalam kejadian 11.50 pagi itu, mangsa, Norizan Am, 61, meninggal dunia di tempat kejadian dan difahamkan ketika kejadian mangsa sedang menolak basikalnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Samsu Bahrin Aziz, berkata pihaknya menerima maklumat pada 11.56 pagi dan sepasukan lapan anggota dengan satu jentera dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, maklumat awal memaklumkan sebatang pokok hujan-hujan tumbang dan menghempap dua rumah serta sebuah kereta dan sebaik tiba, pihak bomba mendapati seorang mangsa turut dihempap pokok terbabit.

“Mangsa disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak perubatan yang tiba di lokasi kejadian dan kerja mengeluarkan mangsa kemudian dijalankan.

“Sebaik berjaya dikeluarkan, mayat mangsa diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsu Bahrin berkata, mangsa adalah kakak kepada seorang anggota BBP Kuala Kangsar, Abdul Jalil Am.

“Rumah terkesan dalam kejadian itu adalah rumah jiran mangsa yang dihempap pada bahagian tepi hadapan rumah.

“Kerja pembersihan dijalankan dengan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Hadir sama ke lokasi kejadian adalah Ketua BBP Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar dan operasi tamat pada 1.37 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 3:33 PM