DR Abd Jamil (tiga dari kiri) berkongsi kegembiraan memenangi Anugerah Utama pada Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2019 bersama pemenang lain di UniSZA, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mendominasi kutipan pingat di Minggu Penyelidikan dan Inovasi (MPI) 2019 apabila berjaya meraih 38 pingat emas, 50 perak dan 51 gangsa.

Lebih manis apabila produk ciptaan penyelidik UniSZA, Dr Abd Jamil Zakaria iaitu ‘Superb Dairy Fertilezer’ (SDF) turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama pada program itu.

Jamil berkata, produk diciptanya adalah baja inovatif baru dalam industri tenusu dan dirumuskan untuk menyediakan zat seimbang diperlukan dalam pemakanan kambing tenusu bagi menghasilkan susu berkualiti dan berkuantiti tinggi.

“Gabungan keseimbangan nitrogen, fosforus, kalium dan kalsium dengan elemen surih (TE) dalam SDF terbukti dapat meningkatkan pertumbuhan, hasil dan kualiti rumput serta meningkatkan kandungan protein selain kalsium dalam susu.

“Ia turut meningkatkan jumlah rumput sihat untuk makanan ternakan.

“SDF membekalkan nutrien lengkap dan seimbang di samping diperkayakan dengan kalsium terutama untuk pertumbuhan cepat pastura bagi makanan haiwan tenusu,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan SDF mudah dan praktikal turut menjimatkan apabila hanya lima hingga 10 gram (g) diperlukan untuk setiap tanaman serta tiada baja kimia tambahan diperlukan, sekali gus dapat mengurangkan pencemaran persekitaran.

Menurutnya, peningkatan penghasilan dan pengeluaran susu dapat meningkatkan ekonomi dan pendapatan usahawan ternakan tenusu.

“Cuma masalahnya, penternak kurang memberi perhatian kepada rumput sebagai makanan utama ternakan.

“Harapan saya supaya penternak tenusu sedar akan kepentingan baja untuk rumput dan menggunakan baja ini untuk menambahkan jumlah hasil tenusu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Badlishah Ahmad berkata, MPI 2019 diharap menjadi landasan kepada produk penyelidikan dan inovasi dikomersialkan untuk manfaat masyarakat.

“Kami harap semua produk terbabit diketengahkan kepada pemain industri bagi tujuan pengkomersialan, sekali gus menjadikan universiti lebih mampan dan berdaya maju.

“Dengan tema ‘Peradaban Insan Melalui Kelestarian Penyelidikan dan Inovasi’, MPI 2019 mampu menjadi medan kepada penyelidik dan penuntut menzahirkan idea inovasi kepada produk bermanfaat bagi kesejahteraan sejagat,” katanya.

MPI yang berlangsung selama dua hari di UniSZA itu mempertandingkan sebanyak 420 produk penyelidikan dan inovasi hasil penyelidik dari seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta pelajar sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:48 PM