LALUAN sepanjang tiga kilometer digunakan lebih 3,000 penduduk. FOTO Abdullah Yusof
Mohd Hafizee Mohd Arop

JIKA dahulu laluan sepanjang tiga kilometer di Kampung Bendang Nibong yang terletak bersebelahan susur Lebuhraya Utara-Selatan dekat Hentian Bukit Gantang arah utara di sini, dipenuhi lopak serta ditakungi air ketika hujan.

Keadaan itu menyebabkan berlaku kemalangan di laluan itu termasuk membabitkan pelajar sekolah dan warga emas.

Kini penduduk kampung berkenaan termasuk lapan desa lain yang menggunakan jalan itu sebagai laluan utama boleh menarik nafas lega apabila PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sudah menaik taraf laluan itu.

PLUS memperuntukkan RM300,000 bagi membaiki semula laluan sepanjang tiga kilometer itu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR), sekali gus memberi manfaat kepada lebih 3,000 penduduk.

Ia kini setaraf laluan lebuh raya kendalian PLUS, tentunya ia bagaikan rahmat buat penduduk apabila dapat menggunakan laluan itu dengan selamat memandangkan sebelum ini boleh diibaratkan laluan maut buat mereka.

Lapan lagi kampung yang menerima manfaat daripada penaiktarafan jalan itu antaranya Kampung Bukit Chempedak, Kampung Banggol Nering dan Kampung Bukit Gantang.

Penduduk Kampung Bendang Nibong, Ahmad Roslan Jawi, 54, berkata, sebelum ini terdapat beberapa kemalangan berlaku di laluan itu termasuk membabitkan anak saudaranya dan ada kemalangan yang menyebabkan kematian.

Katanya, penduduk kampung gelisah setiap kali ingin menggunakan laluan itu yang boleh dikatakan laluan utama mereka untuk ke kampung berdekatan atau keluar dari kampung untuk ke pekan.

“Tiada peruntukan untuk membaiki laluan itu walaupun sudah berlaku beberapa kemalangan terutama membabitkan pelajar sekolah dan warga emas.

“Tapi kini Alhamdulillah. Tiada ucapan yang dapat saya katakan kepada PLUS selain terima kasih atas keprihatinan mereka dalam membantu menyediakan infrastruktur jalan terbaik walaupun ia tidak membabitkan lebuh raya kendalian mereka.

“Kami penduduk yang beruntung kerana terletak berdekatan lebuh raya kendalian PLUS kerana syarikat itu berjiwa besar dalam membantu kami penduduk berdekatan lebuh raya ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian penyerahan Jalan Susur itu di Kampung Bendang Nibong di sini, baru-baru ini.


PENDUDUK kampung tarik nafas lega Jalan Kampung Bendang Nibong yang dahulunya berlopak kini diturap. FOTO Abdullah Yusof

Majlis perasmian jalan itu disempurnakan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Aziz Abdullah dan turut hadir Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Sementara itu, Ketua Kampung Bendang Nibong, Roslan Muhamad berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak PLUS kerana menaik taraf laluan sepanjang tiga kilometer itu yang sebelum ini membahayakan nyawa penduduk.

Katanya, beberapa kemalangan sebelum ini berlaku membabitkan penunggang motosikal berikutan jalan yang berlopak serta dipenuhi air ketika hujan dan inisiatif PLUS amat dihargai.

“Kami sebenarnya tak sangka, PLUS akan membaiki jalan di kampung ini dan ia berjaya disiapkan dalam tempoh masa singkat kerana PLUS adalah syarikat berkemahiran dalam pembuatan jalan raya,” katanya.

Surau Ar-Rahmah terima peruntukan zakat RM50,000

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bukan sahaja memperuntukkan RM300,000 untuk membaiki jalan di Kampung Bendang Nibong di sini, malah memperuntukkan RM50,000 wang zakat kepada Surau Ar- Rahmah di kampung itu.

PLUS turut memberikan sumbangan RM300 setiap seorang kepada 50 asnaf di kampung terbabit sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, PLUS akan terus melaksanakan program khidmat masyarakat seumpama ini dan menggiatkan lagi inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat sebagai inisiatif CSR.

Katanya, penaiktarafan jalan serta sumbangan disampaikan bukan sahaja untuk kampung berkenaan malah PLUS akan terus melihat kampung lain di sepanjang laluan lebuh raya kendaliannya untuk diberikan bantuan.


AZMAN (kanan) menyerahkan sumbangan zakat kepada Pengerusi Surau Ar-Rahmah, Abdul Wahab Daud, 69, sambil disaksikan Aziz. FOTO Abdullah Yusof

“Penaiktarafan jalan yang lebih selesa di Kampung Bendang Nibong itu diharap akan memberi manfaat kepada 3,000 penduduk di kampung ini serta Kampung Bukit Chempedak, Kampung Banggol Nering dan Kampung Bukit Gantang.

“Program ini juga adalah strategi PLUS untuk menyumbang semula kepada masyarakat yang tinggal berhampiran dengan jajaran lebuh raya kendalian kami.

“Kepakaran yang dimiliki PLUS dalam mengurus dan menyelenggara infrastruktur lebuh raya digunakan untuk melaksanakan projek naik taraf dan pembaikan jalan di kampung berdekatan untuk membantu meningkatkan dan melestarikan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penyerahan jalan susur yang siap dinaiktaraf itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:00 AM