DR Mahathir di Majlis Perasmian Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, malam tadi.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

ISLAM melarang umatnya berbunuhan sesama sendiri termasuk membalas dendam jika saudara seagama dibunuh.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, insiden yang menyaksikan 50 umat Islam ditembak ‘pengganas’ warga Australia ketika menunaikan solat Jumaat di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu sangat menyedihkan.

“Jika kita mahu membalas dendam, kita tidak dapat melakukan terhadap pesalah kerana dia sudah ditangkap dan diadili. Kita kemungkinan membalas dendam terhadap orang seagama yang sama asal-usulnya.

“Islam melarang kita membunuh termasuk bukan Islam, tapi malangnya orang Islam hari ini berperang sesama sendiri, dengan pihak lain dan bunuh di merata-rata,” katanya berucap pada Perasmian Majlis Tilawah dan Menghafal Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/2019M di Dewan Majlis Perbandaran Seremban, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dr Mahathir berkata, pembunuhan yang berlaku menyaksikan orang Islam di kebanyakan negara Islam kucar-kacir malah orang tidak bersalah menjadi mangsa.

“Al-Quran dengan jelas melarang umatnya mencetuskan huru-hara, bunuh-membunuh dan membalas dendam. Kita mungkin mahu berjihad tetapi jalannya salah,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta umat Islam di negara ini memperbanyakkan bacaan al-Quran, menghafal dan memahami maknanya.

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440H/2019M anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyaksikan Negeri Sembilan menjadi penganjur buat kali ketiga dengan penyertaan 112 peserta membabitkan masing-masing 14 qari dan qariah tilawah serta masing-masing 42 qari dan qariah hafazan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:00 AM