SHAH ALAM 15 MAC 2019. Anggota bomba meninjau kawasan pencemaran pembuangan sisa industri di kolam takungan Taman Eng Ann, Klang. NSTP/ SAIRIEN NAFIS
Siraj Mohd Zaini
siraj@hmetro.com.my


LELAKI diberkas polis kerana dipercayai terbabit dengan kejadian pembuangan sisa industri di kolam tadahan banjir di Taman Eng Ann, Klang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten, Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek ditahan di Jeram, Kuala Selangor oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara kira-kira 4.30 petang semalam.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah lori tangki jenis Hino yang dipercayai digunakan suspek untuk membuang sisa industri ke kolam berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tiada rekod lampau jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 277 Kanun Keseksaan iaitu mengotorkan sesuatu kolam awam atau mata air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek akan direman hari ini untuk siasatan selanjutnya.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan Taman Eng Ann itu dikesan tercemar dengan bahan kimia yang masih belum dikenal pasti dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bahan pencemar itu memasuki aliran air di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang awam 6 petang dan sampel bahan kimia itu kemudian dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi menentukan jenisnya.

Bagaimanapun, operasi pembersihan yang dilakukan LUAS sejak hari kejadian sehingga hari ini berjaya membersihkan kolam berkenaan daripada sisa industri berkenaan.

Berita berkaitan

Kerja bersih kolam tercemar siap hari ini

[UPDATE] Polis buru suspek buang sisa minyak

Penduduk, jangan panik...

21 bahan kimia dikesan

Dua hari bersihkan Sungai Klang

Sungai Klang pula tercemar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 1:29 AM