JARAK penglihatan sekitar Pelabuhan Klang kelihatan terbatas akibat jerebu.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya meminta operator pelancongan memberi peringatan kepada pelancong berhubung situasi cuaca semasa dan menyalurkan bantuan topeng muka jika perlu.

Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, ketika ini pihaknya mengikuti rapat keadaan cuaca semasa terutama membabitkan kawasan tarikan pelancongan.

“Antaranya seperti di Banting, Selangor dan Rompin, Pahang yang mencatatkan kualiti udara tidak sihat, iaitu masing-masing 104 dan 176 sehingga jam 3 petang hari ini (semalam).

“Saya juga menyarankan orang ramai dan pelancong mengemas kini maklumat terkini berkenaan jerebu di laman web indeks udara di http://apims.doe.gov.my,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan dinasihatkan memakai topeng muka dan mengurangkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu melanda negara ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 7:00 AM