LELAKI berusia 21 tahun parah selepas membakar dirinya sendiri. FOTO tular Facebook
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI parah selepas dipercayai membakar dirinya sendiri dalam kejadian di Kampung Bintang, Sitiawan, Manjung, semalam.

Mangsa yang berusia 21 tahun itu dikatakan bertindak demikian selepas bergaduh dengan teman wanitanya.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.40 malam.

Katanya, siasatan mendapati mangsa dikatakan membakar diri sendiri disebabkan pergaduhan dengan teman wanitanya.

“Mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, pihak hospital memaklumkan, kesan terbakar pada tubuh mangsa hampir 90 peratus.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku di tempat letak kenderaan di hadapan rumah berkenaan dan terdapat beberapa saksi ketika kejadian berlaku.

“Tempat kejadian juga mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan polis akan menjalankan siasatan menyeluruh.

“Ia termasuk merakam percakapan saksi serta menganalisa rakaman CCTV yang diperoleh,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri.

Video membabitkan kejadian itu turut tular di laman Facebook hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2019 @ 9:34 PM