X
Laporan sebelum ini.
Laporan sebelum ini.
Nor Amalina Alias


“LIMA tahun lalu, saya pernah menerima anugerah wira kerana menyelamatkan mangsa lemas di Pantai Melawi, Bachok, tapi adik kandung sendiri meninggal dunia sebab lemas dan saya gagal selamatkan,” kata Mohammad Zulkifli Ismail, 20.

Dia abang kepada Mohammad Firdaus, 15, yang lemas di sungai dekat Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, 9.09 malam semalam.

Mohammad Zulkifli berkata, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga, namun tetap reda kerana sudah ditakdirkan Ilahi.

Katanya, sehari sebelum kejadian mereka sekeluarga sempat berkumpul buat kali terakhir bersama arwah dan menikmati nasi ayam.

Malah, arwah dikatakan memintanya belanja mereka hidangan berkenaan di sebuah kedai makan di Semerak, Pasir Puteh.

“Sebelum ini dia tak pernah minta apa-apa, tapi malam sebelum kejadian itu, dia minta saya belanja nasi ayam dan kami sekeluarga keluar makan bersama, malah arwah kelihatan sangat gembira.

“Tidak sangka itulah kenangan terakhir kami bersamanya,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Anis (HTA).

Mayat Mohammad Firdaus ditemui pasukan penyelamat kira-kira 11 meter dari tebing selepas lemas ketika mandi di sungai yang terletak tiga kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Binjai.

Menurut Mohammad Zulkifli, arwah anak kesembilan daripada 10 beradik adalah seorang yang ceria dan patuh dengan ibu mereka, Samsiah Sulaiman, 53.

Katanya, sebelum kejadian itu, arwah yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai keluar joging bersama abangnya, Mohammad Ezri Syam, 17, dan rakan mereka.

“Dia memang suka joging dan sering ke kawasan sungai itu. Mereka keluar dari 6 petang lagi sebelum Ezri pulang dalam keadaan cemas dan beritahu arwah lemas.

“Saya segera ke sana dan rakannya memaklumkan arwah baru saja tenggelam. Saya terjun sungai dan cuba mencarinya tetapi tidak temui.

“Hampir sejam juga saya menyelam, mencarinya,” katanya yang sedang bercuti selepas menamatkan latihan ketenteraan dan akan mula bertugas di kem tentera di Johor.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebing Tinggi pada 11 pagi.

Berita berkaitan

'Be, be aku lemas'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:03 AM