MUSTAPHA Kamal  (kanan) bersama Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage (tengah) ditemani Setiausaha PRIZMA, Jamilatul Shahmiah Jamaluddin berbincang dalam pertemuan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan PRIZMA.
MUSTAPHA Kamal (kanan) bersama Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage (tengah) ditemani Setiausaha PRIZMA, Jamilatul Shahmiah Jamaluddin berbincang dalam pertemuan di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan PRIZMA.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PERSATUAN Alumni Siswazah New Zealand Malaysia (Prizma) menyifatkan insiden tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu tidak merosakkan keharmonian didukung negara berkenaan.

Presiden PRIZMA, Mustapha Kamal Zulkarnain berkata, persatuan itu sedih dengan kejadian itu kerana komuniti Islam dan masyarakat setempat di Christchurch selama ini hidup dalam keadaan aman walaupun datang dari pelbagai latar belakang.

Menurutnya, Masjid al-Noor yang menjadi lokasi insiden berdarah itu sebelum ini sering menjadi tempat penuntut Malaysia menunaikan solat Jumaat di samping termasuk solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha sepanjang menuntut di Christchurch.

“Kejadian ini ternyata mengejutkan kami yang pernah menetap dan menuntut ilmu di New Zealand.

“Keadaan aman sebelum ini bertukar menjadi tragis dengan insiden berkenaan.

“Kami percaya komuniti Islam dan bukan Islam di Christchurch akan terus memberikan sokongan antara satu sama lain, malah ia akan menjadikan ikatan itu lebih kuat selepas insiden ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, persatuan yang ditubuhkan sejak 2011 itu bersama kerajaan New Zealand menentang sebarang bentuk keganasan dan beranggapan tiada tempat untuk keganasan di negara berkenaan.

Menurutnya, kerajaan New Zealand menerima penuntut Malaysia sejak sekian lama dengan memberikan pelbagai kemudahan dan menyediakan persekitaran pembelajaran selesa serta selamat.

Dalam kejadian Jumaat lalu, 50 umat Islam yang sedang menanti untuk menunaikan solat Jumaat maut ditembak seorang lelaki warga Australia manakala 50 lagi dilaporkan parah.

Bagaimanapun, suspek ditahan polis negara berkenaan tidak lama selepas kejadian dan kini ditahan sementara waktu untuk membolehkan prosiding perbicaraan dijalankan ke atasnya.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 7:23 PM