ANGGOTA bomba berusaha memadam kebakaran di bahagian enjin sebuah jentera mesin padi di Kampung Kubang Pisang, Jalan Kubur Panjang, Pendang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“KAMI cuba nak padam api sebaik ternampak jentera mesin padi itu berasap dan mula terbakar, tetapi sawah pula kering disebabkan cuaca panas melampau menyebabkan kami hanya mampu melihat ia terbakar sebelum bomba sampai,” kata Mohd Fisol Omar.

Mohd Fisol, 45, yang juga pemilik sawah di Kampung Kubang Pisang, Jalan Kubur Panjang, Pendang, berkata, kejadian berlaku pada 11 pagi hari ini apabila sebuah jentera mesin padi dipandu seorang pekerja berusia 20-an di sawahnya itu tiba-tiba mengalami kerosakan di bahagian enjin dan berasap.

Katanya, ketika itu pekerja terbabit tidak sedar jentera itu berasap dan terbakar, malah meneruskan kerjanya membersihkan sawah berkenaan sebelum pemandu jentera mesin padi lain di kawasan itu menjerit memberitahunya mengenai kebakaran itu.

“Mangsa terus melompat dari jentera itu untuk menyelamatkan diri dan bernasib baik kerana tidak melecur dan cedera.

“Tidak lama kemudian, bomba sampai dan memadam api dari terus merebak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ezzat Emran Ezzani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.08 pagi dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi pada 11.20 pagi.

Beliau berkata, sebaik anggotanya tiba di tempat kejadian, didapati kebakaran sedang berlaku di bahagian enjin dan mereka memulakan operasi pemadaman pada 11.22 pagi.

“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Pokok Sena, Pendang dan Tanah Merah.

“Kebakaran dikawal pada 12 tengah hari dan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 10:50 PM