IBRAHIM (tengah) ketika menemui Danish Shazwan (kanan) dan Darwish Rizqi yang memerlukan bantuan.
Mohd Khidir Zakaria


TATKALA kanak-kanak seusia mereka sibuk bermain dan mengulang kaji pelajaran, namun berbeza dengan dua beradik ini yang perlu menguruskan rumah serta datuk mereka yang terlantar sakit.

Muhammad Danish Shazwan Hassim, 12, dan adiknya, Muhammad Darwish Rizqi Hassim, 7, menjaga datuk yang kudung kaki kanan akibat penyakit kencing manis selepas ibu, Suzana Talib, 36, dimasukkan ke hospital kerana menghidap batu karang serta hempedu rosak.

Murid tahun enam dan satu Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Kemang itu sanggup mengorbankan masa mereka demi menggalas tugas itu sehingga beberapa kali tidak hadir ke sekolah.

Muhammad Danish berkata, kesempitan hidup menyebabkan bapa tiri terpaksa keluar bekerja sehingga lewat malam sebagai pengawal keselamatan manakala kakak berusia 17 tahun bekerja sebagai pembantu gerai di Seremban.

“Ibu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dan kami perlu menjaga datuk yang terlantar di rumah. Disebabkan itu, saya dan adik tidak dapat ke sekolah.

“Masalah kewangan juga menyebabkan kami terpaksa mengikat perut di sekolah,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, kelmarin.

Menurutnya, guru yang datang ke rumah kerana tidak hadir ke sekolah mengetahui kedaifan keluarganya, lalu melancarkan kutipan derma bagi membantu mereka.

DANISH membetulkan baju adiknya.

“Apabila cikgu dapat tahu masalah kami, saya dan adik diberikan wang RM3 setiap kali datang ke sekolah untuk membolehkan kami membeli makanan.

“Cikgu juga menasihati saya supaya hadir ke sekolah kerana saya akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini,” katanya.

Muhammad Danish berkata, bekalan elektrik di rumah juga sudah dipotong kerana mempunyai tunggakan bil menyebabkannya tidak dapat mengulang kaji pelajaran pada waktu malam.

Katanya, dia menyimpan cita-cita untuk berjaya dalam pelajaran dan mengubah kehidupan keluarganya selepas ini.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Ibrahim Khan Amanula Khan berkata, beliau menerima maklumat mengenai kedaifan dua beradik itu.

Beliau berkata, pihaknya segera menyalurkan sumbangan wang tunai dan barangan makanan serta pakaian sekolah.

“Kami juga membayar tambang bas sekolah selama setahun untuk mereka kerana bimbang keselamatan mereka yang menaiki basikal ke sekolah,” katanya.

yang akan memanjangkan masalah keluarga itu kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan bantuan bulanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 7:01 AM