KAPAL kargo yang ditahan bersama lima kru (gambar kecil) di perairan Sungai Serudong, Tawau. FOTO Ihsan Maritim.
Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my


BUKAN hanya beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh, sebuah kapal kargo yang ditahan di perairan Sungai Serudong, Tawau, semalam turut membawa muatan 55,000 diesel tanpa kebenaran.

Kapal itu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) yang menjalankan Ops Pluto Timur dan Ops Maharlika 2 pada 3.20 petang.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata, kapal berkenaan milik tempatan dikendalikan juragan bersama empat kru berumur 34 hingga 72 tahun.

“Selepas pemeriksaan lanjut, kita dapati lesen kapal kargo terbabit tamat tempoh dan tidak diperbaharui sejak 31 Mei 2018.

“Selain itu, lesen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tamat tempoh pada 26 Februari 2019 (yang membolehkan bawa bahan bakar),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Yusri berkata, juragan dan kru semuanya orang tempatan, ditahan manakala kapal dan diesel yang dianggarkan RM350,000.

“Ia dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 8:46 AM