MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika sidang media majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Dalam Negeri Tahun 2018 di Putrajaya, turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Zanariah Abd Mutalib


KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan menyiasat jika ada laporan mengenai rakyat di negara ini yang mempunyai dua kewarganegaraan.

Ia susulan laporan khas BH hari ini mengenai ribuan rakyat Thailand yang dipercayai mempunyai dua warga negara itu sejak 1980-an hingga kini, yang membolehkan mereka keluar masuk ke negara ini tanpa sekatan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siasatan mengenai perkara itu tidak boleh dibuat berdasarkan dakwaan semata-mata dan memerlukan bukti kukuh untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat siasatan.

Katanya, dasar kerajaan Malaysia adalah tidak mengiktiraf pemilikan lebih daripada satu kewarganegaraan dan seseorang warganegara Malaysia boleh dikenakan tindakan pelucutan kewarganegaraan Malaysia seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Laporan mengenai apa-apa kesalahan oleh seseorang warganegara Malaysia yang boleh diambil tindakan pelucutan kewarganegaraan, boleh dikemukakan mana-mana pihak seperti agensi kerajaan atau orang perseorangan.

"Bagaimanapun, laporan yang dikemukakan perlulah mengandungi butiran mengenai individu yang dilaporkan serta bukti yang relevan bagi membantu siasatan lanjut oleh JPN.

"Laporan yang tidak disertakan dengan bukti akan menyukarkan siasatan, menyebabkan fail kes tidak kukuh dan seterusnya tindakan pelucutan kewarganegaraan tidak dapat dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KDN 2018 di sini, hari ini. Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Mohd Azis Jamman dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

BH hari ini melaporkan ribuan rakyat Thailand yang dipercayai mempunyai dua warga negara itu sejak 1980-an hingga kini, memperoleh kad pengenalan diri Malaysia dengan mudah 30 tahun lalu, menyebabkan jumlah itu semakin bertambah kerana ia disambung oleh generasi anak, cucu dan cicit yang turut memiliki kewarganegaraan Malaysia.

Sumber memberitahu, warga Thailand hanya dikenakan bayaran RM50 untuk mendapat kad pengenalan pada ketika itu, menyebabkan ramai yang berlumba-lumba mendapatkan kemudahan itu kerana kedudukan Malaysia yang bersebelahan dengan Thailand.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan rakyat di negara ini boleh memiliki dua kewarganegaraan pada 1980-an kerana peruntukan Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara itu tidak pernah dipinda sejak merdeka.

Mengulas lanjut, beliau berkata, warga Malaysia boleh dilucutkan kewarganegaran jika memperoleh kewarganegaraan mana-mana negara asing sama ada melalui pendaftaran, penaturalisasian atau perbuatan sukarela dan formal yang lain (selain perkahwinan), yang mana tindakan pelucutan bagi kesalahan itu boleh diambil di bawah Perkara 24(1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu katanya, pelucutan boleh dilakukan jika warga negara itu menuntut dan menggunakan hak atau keistimewaan yang diberikan secara khusus kepada seseorang warga negara asing seperti hak undi bagi pemilihan politik di negara asing berkenaan, memohon atau menggunakan pasport/dokumen perjalanan negara asing itu, yang mana tindakan pelucutan boleh diambil di bawah Perkara 24(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, jika seorang warganegara Malaysia melalui kuat kuasa undang-undang memperoleh kewarganegaraan negara asing juga melalui kuatkuasa undang-undang, beliau tidak melakukan kesalahan di bawah Perkara 24(1) perlembagaan kerana beliau berhak terhadap kedua-dua kewarganegaraan ini, namun beliau melakukan kesalahan di bawah Perkara 24(2) perlembagaan jika memohon atau menggunakan pasport/dokumen perjalanan negara asing berkenaan," katanya.

Muhyiddin turut menasihatkan mereka yang mempunyai dua kewarganegaraan itu supaya membuat keputusan dan menyerahkan satu daripada kewarganegaraan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 1:25 PM