SEBAHAGIAN kakitangan JPKNT dan TNB bergotong-royong mengecat Masjid Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli
am@hmetro.com.my


SERAMAI 5,000 orang termasuk keturunan tokoh ilmuan agama terkemuka, Syeikh Abdul Malik Abdullah atau lebih dikenali Tok Ku Pulau Manis dijangka hadir pada Majlis Haul Tok Pulau Manis pada 19 dan 20 April depan.

Hari memperingati Tok Ku Pulau Manis yang julung kali diadakan di Kampung Pulau Manis dan Masjid Pulau Manis itu bertujuan mengingati pengorbanan tokoh agama itu.

Penganjur program, Mohamad Chebong berkata, pelbagai aktiviti menarik berbentuk keagamaan menanti pengunjung termasuk keturunan Tok Ku Pulau Manis dari Patani, Thailand, Singapura, Acheh dan Sumatera, Indonesia.

“Ia peluang terbaik bukan hanya untuk merapatkan hubungan antara keturunan Tok Ku Pulau Manis, malah hubungan masyarakat di kawasan sekitarnya.

“Memandangkan ini kali pertama kami mengadakan program seperti ini, banyak persiapan perlu dilakukan sebelum Haul Pulau Manis.

“Justeru, kami memang mengalu-alukan bantuan pelbagai pihak untuk membuat persiapan dan hari ini, Alhamdulillah, seramai 21 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Keselamatan Negeri Terengganu (JPKNT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bergotong-royong mengecat Masjid Pulau Manis,” katanya ketika ditemui selepas gotong-royong mengecat Masjid Pulau Manis di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, pelbagai sumbangan diterima termasuk lima ekor lembu, kelengkapan ibadat seperti sejadah dan bahan mentah.

Katanya, orang ramai diharap mengambil peluang memeriahkan program itu, sekali gus dapat mengenali tokoh agama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:30 PM