Admi menerima Bayaran Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen penakat PERKESO atas kematian suaminya di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.
Mary Victoria Dass


“SAYA dan suami sepatutnya meraikan ulang tahun perkahwinan kami ke-30 di kapal pesiaran, namun tidak sangka dia kembali kepada pencipta Jumaat lalu ketika menyertai sesi aerobik di sebuah sekolah di bandar raya ini,” kata seorang guru, Admi Tugiman, 57, semalam.

Isteri kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) yang meninggal dunia pada 15 Mac lalu berkata, dia masih terkilan dengan pemergian suaminya, Salim Daud, 57, iaitu tiga hari sebelum ulang tahun perkahwinannya.

Dia berkata, suaminya yang juga pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian aktif dalam khidmat sukarelawan serta gemar berbakti kepada masyarakat.

Katanya, suaminya juga terkenal dengan gelaran Tok Salim kerana pernah menggalas tugas sebagai Ketua Kampung Kempas.

“Ketika sesi aerobik, arwah rebah di depan mata saya dan meninggal dunia.

“Sehingga kini saya tidak dapat percaya dia sudah meninggalkan kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pada sesi Penyerahan Bayaran Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen penakat PERKESO di Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Penyerahan disempurnakan oleh Osman yang turut berdukacita dengan kehilangan arwah.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Negeri, Tong Sing Chuang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 10:11 PM