BERNAMA

PROJEK membaiki piano milik seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee masih memerlukan dana RM50,000 lagi, kata Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Azemi Abdul Aziz.

Beliau berkata, projek “Getaran 88 Kekunci Hati” yang dilancarkan pada September 2018, bagi memastikan piano yang berusia 60 tahun itu dapat dimainkan semula, sudah mengutip sumbangan RM25,000 pada peringkat pertama kutipan dana itu.

“Bagaimanapun keadaan piano ini masih belum boleh digunakan sepenuhnya.

“Bagi memastikan piano ini 100 peratus berada dalam keadaan baik, Arkib Negara memerlukan dana RM50,000 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis mengumpul dana dan meraikan penyumbang awal projek berkenaan di Pustaka Peringatan P Ramlee, Setapak hari ini yang dilancarkan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik.


Allahyarham Tan Sri P Ramlee

Katanya, peringkat pertama usaha membaik pulih piano yang digunakan P Ramlee dalam menghasilkan lagu sehingga menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan berprestij itu, berjaya menjadikan alat muzik itu kembali berfungsi, menghasilkan 90 peratus daripada bunyi asalnya.

“Di peringkat awal, Jabatan Arkib Negara dengan kerjasama Syarikat Innate Publishing Sdn Bhd melancarkan program pertama mengumpul dana bagi tujuan itu dengan “penjualan 88 kekunci piano” iaitu 52 hitam dan 36 hitam kepada penggiat seni serta syarikat korporat, yang membolehkan RM25,000 dikumpul,” katanya.

Azemi berkata, RM10,000 dari sumbangan itu digunakan untuk membaik pulih kekunci piano berkenaan oleh pakar juruteknik piano Mohammad Alif Yahya yang bekerja di United Kingdom.

Beliau berkata, piano yang dikeluarkan Herrburger Brooks dari United Kingdom itu dilaporkan dibeli P Ramlee dari syarikat C Nang Hong & Co.

Sementara itu, Bakhtiar berkata, sumbangan Allahyarham P.Ramlee dalam memartabatkan bidang seni tempatan tidak boleh dipertikaikan.

“Bakat Allahyarham dalam bidang gubahan lagu dan lakonan mempunyai kelas tersendiri.

“Lagu ciptaan arwah malar segar sehingga ke hari ini. Tidak pernah jemu kita mendengar lagu berulang kali,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar memainkan dua lagu P Ramlee termasuk lagu Getaran Jiwa, menggunakan piano milik seniman agung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 10:17 PM