Gambar hiasan. FOTO Sharul Hafiz Zam
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


SEMUA masjid dan surau di Wilayah Persekutuan mengadakan solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat esok untuk mangsa yang terkorban dalam tragedi di Christchurch, New Zealand minggu lalu.

Selain itu, solat hajat untuk memohon keamanan dan kedamaian tanah air akan turut diadakan di semua 84 masjid, 526 surau, dan 110 surau Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata, inisiatif itu diambil sesuai dengan tuntutan agama bagi mendoakan mangsa dalam insiden pengganas itu, termasuk untuk rakyat Malaysia yang terkorban, Muhammad Haziq Tarmizi, 17, serta mereka yang cedera.

“Kita sudah maklumkan kepada semua masjd dan surau Jumaat untuk solat hajat dan jenazah ghaib selepas solat Jumaat, Insya-Allah.

“Mudah-mudahan mereka diletakkan bersama syuhada di sisi Allah dan kita juga mendoakan agar keluarga diberikan kesabaran berdepan ujian ini,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Katanya, beliau juga berharap semua mangsa yang terjejas akibat insiden keganasa itu dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kita doakan supaya yang cedera dan dirawat segera pulih,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 11:04 PM