MUHAMMAD Bakhtiar berbual bersama keluarga mangsa, sebelum mereka berlepas New Zealand dari KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


AHLI keluarga kepada Rahimi Ahmad dan Mohd Nazril Hisham Omar, mangsa insiden tembakan di Christchurch diterbangkan ke Auckland, New Zealand malam ini untuk melawat mereka.

Enam ahli keluarga mangsa itu diterbangkan dengan pesawat Malaysia Airlines MH0131, 11.10 malam ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ahli keluarga Rahimi, 39, yang berlepas ialah Nor Nadiah Ahmad, 29, (adik) Khairil Mikhail Khairil Azrizal, 2, (anak buah), serta dua ibu saudara iaitu Robiah Salleh, 60, dan Azizah Mohmad, 60.

Pada masa sama, ahli keluarga Mohd Nazril Hisham, 46, yang berlepas malam ini ialah kakak serta adiknya, iaitu Rosmawati, 51, dan Rosnaliza, 45.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik menghantar enam ahli keluarga terbabit.

Dalam pada itu, Nor Nadiah berkata, abangnya memberikan maklum balas positif apabila dipanggil ibunya yang kini berada di Christchurch.

“Abang saya dalam keadaan stabil dan sudah menjalani empat pembedahan secara berperingkat bagi membuang serpihan peluru.

“Saya berharap keadaan abang akan bertambah baik berbanding sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA di Sepang, hari ini.

Selain itu, Rosnaliza pula berkata, abangnya akan dipindahkan ke wad biasa untuk berehat dan keadaannya juga dilaporkan stabil.

Sementara itu, Muhammad Bakhtiar berkata, pemergian semua ahli keluarga mangsa ke New Zealand adalah usaha Malaysia Airlines yang berbesar hati menaja tiket penerbangan.

Katanya, beliau juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang disahkan seorang daripada 50 mangsa kehilangan nyawa dalam kejadian tembakan itu.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 11:18 PM