DUA lelaki dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana mencuri ikan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


DUA sahabat dijatuhi hukuman penjara lima bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mencuri pelbagai jenis ikan bernilai RM1,500 di restoran ikan bakar di Pantai Batu Buruk.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Marzuki Paki Maidin, 46, dan Mohd Khairul Anuar Ab Rahman, 38, mengaku bersalah terhadap pertuduhan terhadap mereka.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu didakwa mencuri pelbagai jenis ikan milik Hasem Hawan, 26, yang bernilai RM1,500, di sebuah restoran di Jalan Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu, 7.40 pagi pada 12 Mac lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna, manakala dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Akhbar sebelum ini melaporkan dua sahabat itu ditahan selepas jenayah dilakukan mereka terbongkar susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan nombor pendaftaran motosikal ditunggang mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 11:52 PM