LAPORAN portal Harian Metro mengenai keputusan inkues kematian Mohamad Thaqif Amin.
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


“KAMI terima keputusan mahkamah dengan reda,” kata Mohd Gadaffi Md Karim, bapa kepada pelajar tahfiz, Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi, 11, yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada 26 April 2017 lalu.

Komen ringkas itu diberikan Mohd Gadaffi sebagai reaksi keputusan Mahkamah Koroner di Johor Bahru, semalam, selepas memutuskan kematian anak lelakinya sebagai bukan jenayah.

Koroner Jailani Abd Rahman mengumumkan kematian kanak-kanak 11 tahun itu disebabkan komplikasi yang berkaitan kencing tikus atau leptospirosis.

Mohd Gadaffi berkata, meskipun masih bersedih dengan situasi menimpa arwah anaknya itu, namun beliau akur keputusan mahkamah itu.

“Nak kata sedih, memang saya sedih, tak tahu nak komen apa, tapi kami sekeluarga reda dengan keputusan itu.

“Kita mempunyai undang-undang dan saya terima keputusan itu dengan reda,” katanya ketika dihubungi berhubung keputusan Mahkamah Koroner hari ini.

Terdahulu keputusan itu dibuat selepas selesai pendengaran 18 saksi inkues dan 63 eksibit dalam inkues kematian Mohamad Thaqif Amin yang dimulakan sejak Januari 2018.

Jailani dalam alasan penghakimannya berkata, memutuskan perkara itu selepas meneliti semua keterangan yang diperdengarkan di hadapannya.

Menurutnya, keterangan itu juga disokong dengan saksi inkues ke-11, Pakar Patalogi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Dr Mohamad Aznool Hady Ahsonori.

Jailani memberitahu, apabila ujian dilakukan, dapat dikesan ada kuman kencing tikus pada kiri dan kanan buah pinggang mangsa.

Selain itu, mahkamah mendapati keterangan terbabit konsisten dengan saksi inkues membabitkan ibu, ayah, bapa saudara dan sepupu yang memaklumkan mangsa ada ke kolam mandi di Jalan Mawai.

Inkues kematian Mohamad Thaqif Amin bermula dengan saksi inkues pertama dipanggil pada 10 April tahun lalu dan saksi terakhir pada 29 Januari lalu membabitkan pegawai penyiasat kes terbabit.

Jailani dalam pada itu menyatakan tujuan inkues itu menerusi penggunaan prinsip pengambilan keterangan kes duluan di atas terma rujukan digariskan mengikut Seksyen 327 dan Seksyen 328 Kanun Prosedur Jenayah.

“Tujuan inkues ini bagi mengetahui siapakah si mati, bilakah meninggal dunia, di manakah si mati meninggal dunia dan bagaimanakah si mati meninggal dunia.

“Selain itu ia bertujuan mengetahui si mati meninggal dunia dengan cara apa, adakah sesiapa bertanggungjawab secara jenayah berkenaan kematian si mati,” katanya.

Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia pada 2.05 petang, 26 April 2017 di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru ketika mendapatkan rawatan selepas kedua-dua kakinya dipotong berikutan jangkitan kuman dan darah beku.

Berita berkaitan

Kematian Mohamad Thaqif tiada unsur jenayah

Simptom kencing tikus arwah Thaqif 'unik'

Terguris komen netizen

Polis yang sepatutnya beritahu

Belum dapat laporan rasmi

Kencing tikus punca kematian Thaqif

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 12:30 AM