Dziyaul Afnan Abdul Rahman


“SAYA bersangka baik dan tidak mengesyaki sesiapa,” kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin susulan kereta rasminya dibakar, hari ini.

Beliau menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan terperinci kejadian itu dan menunggu laporan yang dikeluarkan pihak itu bersama forensik bomba.

Katanya, setakat ini belum ada laporan rasmi dikeluarkan.

“Setakat yang saya dengar daripada pasukan forensik yang datang ke rumah, mereka kata kebakaran berpunca dari dalam kereta dan belum jumpa unsur sabotaj.

“Rumah saya memang pagar pun tidak tutup, supaya senang orang datang, terus ketuk pintu sahaja.

“Kebakaran itupun disedari isteri saya, awal pagi tadi,” katanya, hari ini.

Mohd Asri juga meminta agar tiada pihak menimbulkan sebarang spekulasi liar.

“Jika kata unsur sabotaj tanpa bukti, (ia) boleh menimbulkan prasangka kerana setakat ini kebakaran itu dipercayai bermula dari dalam kereta.

“Saya tiada tinggalkan apa-apa barang elektronik di dalam kereta dan kereta itu juga jarang dibawa pulang ke rumah,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kereta rasmi jenis Honda Accord 2.0i milik Mohd Asri dipercayai dibakar di bahagian bonet dan cermin dipecahkan dalam kejadian di hadapan rumahnya.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari kediaman Mohd Asri pada 6.05 pagi.

Berita berkaitan

Kereta Dr MAZA dibakar, cermin dipecahkan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 1:32 PM