Oleh Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@nstp.com.my


SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik di laman sosial, Januari lalu.

Tertuduh, V Karitikesoo, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Hakim Norsalha Hamzah.

Mengikut pertuduhan, Karitikesoo didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, menggunakan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil ‘Suresh Don Don’

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilang Osram, Bayan Baru, kira-kira jam 8.30 pagi, pada 23 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000, penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali serta denda RM1,000 bagi setiap kesalahan sama yang diulangi, jika sabit kesalahan.

Norsalha kemudian tidak membenarkan tertuduh dijamin selain menetapkan 23 April depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Yusaini Amer Abdul Karim, manakala tertuduh diwakili peguam Sukhindarpal Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 2:49 PM
KARITIKESOO mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.