FOTO Hiasan
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SEORANG doktor klinik swasta ditahan semalam bagi membantu siasatan selepas didakwa mencabul seorang pesakit wanita berusia 31 tahun di kliniknya di Parit Buntar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, berkata suspek berusia 62 tahun itu ditahan selepas mangsa membuat laporan mendakwa doktor berkenaan meraba beberapa bahagian badannya.

“Dalam kejadian 11.40 pagi Rabu lalu, mangsa yang sudah berkahwin ke klinik berkenaan seorang diri untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami sakit dada dan perut.

“Sewaktu rawatan dijalankan, tiada jururawat bersama dan hanya mangsa dan suspek berada di dalam bilik rawatan.

“Doktor berkenaan kemudian dipercayai meraba beberapa bahagian badan pesakit itu,” katanya dalam sidang media di Parit Buntar, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu mangsa membuat laporan polis di Balai Parit Buntar pada 12.02 tengah hari, Rabu lalu.

Menurutnya, bertindak atas laporan itu polis menahan suspek di kliniknya semalam dan suspek kini direman selama dua hari bermula hari tangkapan bagi membantu siasatan.

“Berdasarkan rekod, mangsa sudah 11 kali mendapatkan rawatan di premis berkenaan.

“Kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2019 @ 5:51 PM